Wednesday, December 29, 2010

Pencapaian Terbaru -Berjalan Kaki

Akhirnya saya berjaya memecah rekod sendiri iaitu dapat melakukan aktiviti berjalan kaki sebanyak 11365 steps yang mengambil masa 1 jam 29 minit!
Gembira? Mestilah gembira....sebab dah lama tak melakukan senaman secara khusus. Dulu adalah sewaktu remaja dan di Universiti..Tapi bila dah berkahwin, bekerja dan mempunyai anak..segala aktiviti senaman, saya tangguhkan..Tapi sekarang tidak lagi..Walaupun terpaksa menguruskan anak, aktiviti senaman boleh diuruskan dengan baik. Pokok pangkalnya ..DISIPLIN !!!

Wednesday, December 22, 2010

Kasut Baru untuk senaman berjalan NB

Jalan..jalan..jalan...tapi kasut yang saya gunakan selama ini untuk senaman berjalan adalah kasut biasa (sneakers) yang hari-hari saya pakai sewaktu memandu kereta atau pun pergi membeli belah! Aha..timbul pulak rasa di hati ni nak cari sepasang kasut khas untuk senaman berjalan kaki. Yess...cari punya cari, akhirnya saya memilih sepasang kasut yang mempunyai teknologi penyerapan...khas untuk wanita dan senaman berjalan kaki.
Jenama? New Balance.
Agak mahal..tapi kita perlulah membuat sedikit pelaburan demi kesihatan. Kasutnya ringan dan memang pantas bergerak setelah mencubanya!

Jomm...kita mulakan!

Saturday, December 18, 2010

iPod shuffle

Yeah!! One step ahead!

Hari ini saya gembira sebab dapat hadiah harijadi! yang ke ?? Rahsia lah..
Apa hadiahnya?

iPod Shuffle!!

Ala...kenapa tak beli yang lagi canggih! Anak-anak bertanya.

Jadilah...buat peneman semasa beriadah...berjalan kaki.. Jawab saya.

Grrrrr......(mereka mengharapkan sesuatu yang lebih canggih, sebabnye..... boleh tumpang sekaki le tu!)

Hmmm mak membeli untuk keperluan sahaja. Tak de nak main-main!


Aha..lepas ni, boleh la saya melakukan aktiviti riadah berjalan kaki dengan iPod shuffle baru..tak la boring sangat nanti  : )

Thursday, December 16, 2010

Berjalan Kaki dengan Pedometer -Bahagian 2

Mula-mula tu rasa malas nak menulis bab berjalan kaki dengan pedometer ni. Tapi bila difikirkan semula, lebih baik apa yang kita buat itu direkodkan. Jadi semalam petang saya berjaya berjalan kaki sebanyak 6599 langkah selama 50 minit. Saya membuat beberapa pusingan di kawasan riadah (kecil aje kawasan tu) di depan rumah di kawasan perumahan saya. Baru aje nak mula berjalan, dah ada asap berkepul di tepi Taman. Ada seorang penghuni rumah yang tengah membuat kerja-kerja pembersihan. Tapi kepulan asap kecil aje. Setelah membuat beberapa pusingan, saya menuju ke kawasan berbukit pula. Wah terasa bebannya mendaki bukit. Tapi dek kerana kecekalan hati ini,dapat juga mendaki sebanyak 2 pusingan sahaja. Hari pun dah nak senja, jadi terpaksalah balik ke rumah.  Terasa hebat juga lah berjalan ni. Saya rasa saya dapat menghirup udara dengan mudah dan tidak tersekat atau separa sahaja. Ini kerana paru-paru dapat berkembang dengan baik!!

Monday, December 13, 2010

Menikmakti Alam Semulajadi

Nikmatilah Alam Semulajadi kurniaan Allah selagi kita boleh. Hirupilah udara segar disamping melihat keindahan alam. Perhatikanlah alam semulajadi seperti gunung-ganang, pokok-pokok, haiwan dan sebagainya. Rasailah deruan angin yang menyentuh kulit kita dan juga sinaran matahari. Terdapat pelbagai tempat yang kita boleh lawati untuk menikmati alam di negara kita sendiri, Malaysia mahupun di serata dunia.

Bercakap mengenai alam, tiba-tiba saya teringatkan anak saya, Cami. Setiap kali berjumpa dengan pokok besar..yang lebih besar dari Cami, beliau akan meminta saya mengambil gambarnya bersama-sama pokok itu. Tidak terfikir pulak di fikiran saya akan permintaannya. Cuma baru-baru ini barulah saya mengerti, bahawa Cami sedang menikmati alam semulajadi dan sangat gembira dengan alam. Beliau menyatakan kegembiraan itu, bukan melalui kata-kata, tetapi dengan rakaman gambar! Begitulah cara luahan anak-anak kita!



Bukit Bendera

Cami dengan pokok besarnya di Bukit Bendera
Cami menuju ke pokok besar di kampus Universiti Malaya

Wednesday, December 8, 2010

Berjalan Kaki dengan Pedometer

Seperti yang dirancang, saya telah membeli alat Pedometer jenama Omron di sebuah kedai Watson. Harga satu unit ialah RM88.00. Agak mahal bagi saya kerana alatnya kecil dan mudah dikendalikan. Kita hanya perlu mengubah 'setting' sebagaimana yang kita hendaki. Tak pe lah..demi kesihatan,dan berbaloi jugaklah jika dibandingkan dengan kos rawatan hospital jika seseorang itu jatuh sakit dan kronik! Bab kata satu slogan..

"Mencegah Itu Lebih Baik Daripada Mengubati

Jadi, petang semalam, dengan semangat berkobar-kobar saya pun memulakan senaman berjalan kaki di sekitar kawasan perumahan tempat saya tinggal. Ianya sebagai satu permulaan! Menurut kiraan pedometer tersebut, saya telah berjaya berjalan kaki sebanyak:
                              * 4470 langkah
                              * dalam masa 23 minit
Ok le ..buat permulaan! Tapi berjalan sorang sorang pulak.. boring la rasanya. Bagaimana nak mengatasi rasa boring ini? Aha..tunggu jawabannya....
Kepada sesiapa yang belum memulakan sebarang aktiviti senaman, silalah berbuat segera! Lihat slogan di atas! Fikir-fikir kan lah...













Sunday, November 28, 2010

Pedometer

Matlamat untuk tahun depan 2011 tak lama lagi ialah senaman berjalan demi kesihatan.

Ada beberapa rancangan yang saya rancang untuk tahun depan dan salah satunya ialah senaman berjalan kaki. Nak lari, rasanya tak boleh memandangkan umur semakin meningkat dan tak sesuai untuk wanita. Jadi berjalan adalah satu - satunya senaman yang sesuai, selain berbasikal dan berenang. Jadi untuk tujuan itu saya merancang untuk membeli alat pedometer.

Alat pedometer ini bertujuan untuk megukur berapa langkah yang kita lakukan dalam satu hari. Mengikut sumber yang boleh dipercayai, 10 000 langkah memberi kita kesihatan yang baik. Jadi apa lagi, saya akan mencubanya. ..

Kalau tak hari ini, mungkin esok, saya akan membeli alat pedometer ini. Manakala Adam pula, sibuk nak membeli reket badminton. Jadi kami akan sama-sama membeli belah esok, selepas mereka balik dari sekolah.

Sekali lagi,  saya mengingatkan diri sendiri, tujuan membeli pedometer ini adalah untuk
1.   Senaman berjalan demi kesihatan.
2.   Latihan untuk misi saya di penghujung tahun depan, InsyaAllah.  (tak boleh didedahkan lagi kat sini)

Pedometer...here i come...

Sunday, November 21, 2010

Bukit Bendera, Pulau Pinang, Malaysia







Dua minggu yang lepas, kami sekeluarga bersama ibu saya pergi bercuti ke Pulau Pinang. Kami berada di sana selama 3 hari 2 malam. Seronok...tak terhingga..Maklumlah , bercutilah katakan. Kami menginap di Batu Feringghi. Cuaca ketika itu cerah, berangin, tapi di waktu petang, hujan renyai..

Pada hari kedua, kami mengambil kesempatan mendaki Bukit Bendera! Ha..ha..tapi dengan menaiki Pajero...Kami terpaksa menyewa Pajero kerana tren merah tiada perkhidmatan. Tiada perkhimatan kerana kerja-kerja penaikan taraf sedang dijalankan. Tren merah itunanti akan digantikan dengan tren yang lebih baik.

Dari atas, kami dapat melihat bandar Pulau Pinang dengan jelasnya...termasuklah Jambatan Pulau Pinang, Bagunan Komtar, Masjid Negeri, Lautan dan Tanah Semenanjung. Cuaca di atas adalah nyaman sekali.

Sunday, November 7, 2010

J'espère-Marc Lavoine & Pham Quynh Anh



Lagi lagu Marc Lavoine...berduet dengan Quynh Anh. Lagu yang indah , liriknya juga ...
Begitu juga dengan video klipnya.

Friday, November 5, 2010

Skybridge Visit-Petronas Twin Towers KL


Akhirnya, dapat juga kami naik atas -Skybridge Petronas Twin Towers. Jambatan yang menghubungkan kedua-dua menara ini sebenarnya adalah untuk keselamatan penghuni bangunan. Letaknya adalah di tingkat 44. Untuk ke atas, kami menaiki lif...dan dalam sekelip mata sahaja kami pun tiba. Sewaktu menaiki lif..hati ni berdebar-debar jugak, maklumlah...tinggi!
Tapi, untuk ke atas, pengunjung hendaklah beratur panjang dulu. Bayaran RM3 dicaj bagi penduduk Malaysia sahaja. Pengunjung asing dikenakan bayaran RM10. Kena beratur 1 jam, tapi berada kat atas 15 minit sahaja. Itupun, dah dapat tiket, bukannya boleh naik atas terus, sebab tiket yang diperolehi adalah untuk jam 2.00 petang. Maklumlah Twin Towers tertinggi di dunia. Siapa yang tak nak naik! Apatah lagi pengunjung asing...

Seronoknya berada di atas!!

Saturday, October 16, 2010

Nasi Dagang

Teringin pulak nak masak nasi dagang. Saya jarang sekali makan nasi dagang. Kalau makan pun sebab ibu saya yang masak. Itu pun jarang dimasak, sebab kami bukan dari Negeri Terengganu atau Kelantan. Membeli pun jarang sekali, itupun kalau dibeli oleh ibu saya. Jadi, hari ini, Hari Ini Dalam Sejarah, sebab buat pertama kalinya...di dalam hidup...saya memasak Nasi Dagang. Saya dah melayar internet dalam beberapa hari ini, mencari resepi Nasi Dagang. Ada 2 jenis Nasi Dagang; pertama, Nasi Dagang Terengganu dan yang kedua Nasi Dagang Kelantan. Layaran internet juga, saya dapati ada juga Nasi Dagang 'simple', iaitu diolah sendiri oleh tukang masak itu sendiri. Olahan dibuat kerana mereka ini adalah golongan pekerja atau pu tinggal di luar negara. Jadi, hasil penyelidikan resepi nasi dagang sejak beberapa hari ini, maka terhasil lah Nasi Dagang saya sendiri. Resepi nya saya agak-agak, mengikut kesesuaian keluarga saya.

Oleh kerana kamera tak disediakan lagi, maka, saya tak muat turun gambarnya lagi. Harap bersabar ye!

Friday, September 17, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Nampaknya post saya dalam beberapa minggu ini hanyalah ucapan-ucapan sahaja. Tak apelah ..semua ini adalah kerana keletihan dan kesibukan. Sekurang-kurangnya ada ucapan untuk kita semua dari saya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR BATIN

OPSS..Baru saya teringat....tadi saya terlupa nak ambil gambar anak-anak bersama rakan-rakan mereka sempena rumah terbuka (khas untuk mereka dan rakan-rakan).

Wednesday, September 1, 2010

Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadhan dan Selamat Hari Merdeka yang ke-53

Salam semua!

Rasanya masih belum terlambat saya mengucapkan Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadhan ini kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Juga, Selamat Hari Merdeka yang ke-53 kepada seluruh rakyat Malaysia yang baru kita raikan semalam.

Ini adalah tulisan saya yang pertama setelah balik dari France, pada Ramadhan hari kedua. Penat ...tersangatlah penat...Hari ini barulah rasanya ade mood untuk menulis.

Sekian dulu, untuk sementara waktu.

Thursday, August 5, 2010

Marc Lavoine & Souad Massi - Paris

Lagu yang ni pulak baru saya jumpa. Melodinya 'slow' dan boleh diterima oleh halwa telinga saya. Di sini Marc Lavoine berduet dengan penyanyi Algeria muslim (kalau tak silap). Kena dengar sampai habis, baru boleh 'appreciate'. Kat akhir video, Marc Lavoine menari ala-ala Arab!

Marc Lavoine et Claire Keim - Je ne veux qu'elle

Lagi ...lagu kegemaran saya sejak 5 tahun yang lalu. Saje aje nak abadikan kat blog ni. Nama penyanyi ni ialah Marc Lavoine, penyanyi kegemaran saya sebab beliau mempunyai suara parau..gitu.

Coeur de Pirate & Julien Doré - Pour un infidèle (clip officiel)


Lagu kegemaran saya ketika di France. Melodinya bagi saya adalah indah, begitu juga dengan suara pasangan ini...lunak dan merdu. Harap anda gembira mendengarnya..
Lyric
Tes lèvres en tremblent encore,
Et l’homme que ton coeur porte semble moins fort,
Et si le combat prend fin,
C’est surement parce qu’on t’a pris par la main,
Et tout bas tu me murmures,
Tout ce que j’aime tu me l’assures,
Et dans tes défaites, tu me promets,
Qu’un nouveau jour est pour demain,
Doucement tu me fais voir,
Les plus douces de tes histoires,
Plus notre idylle avance d’autres filles entrent dans la danse,
Ses Lèvres en tremblent encore,
Et sous mon poids son cœur vibre plus fort,
Et les craintes qu’elle a s’amplifient,Elle sait qu’une autre fut dans mon lit,
Tout bas je lui murmure,
De calmer toutes ses inquiétudes,
Et dans mes mensonges, je lui rappelle,
Qu’à mes yeux il n’y a plus qu’elle,
Doucement tu me fais voir,
Les plus douces de tes histoires,
Plus notre idylle avance d’autres filles entrent dans la danse.

Friday, July 30, 2010

Berbasikal di Saint-Malo






Kat bandar Saint-Malo ni, ramai jugalah yang berbasikal (tapi saya rasa tak la seramai seperti di Denmark). Samada penduduk tempatan mahupun pelancong dari luar mereka gemar berbasikal. Kat mana-mana pasti akan jumpa pembonceng basikal. Pembonceng basikal ni pulak tak kiralah muda mahupun yang dah berusia, wanita atau lelaki. Basikal yang saya perhatikan ada pelbagai jenis. Ada yang beroda dua ; khusus untuk lelaki dan ada yang khusus untuk perempuan. Ada yang menyediakan tempat duduk khas untuk anak kecil di belakang dan ada yang menyediakan beg di kiri dan kanan di bahagian tempat duduk belakang. Pernah juga saya terjumpa denga sekumpulan pelancong dari England yang berumur dalam linkungan 40-an membonceng basikal yang boleh dilipat ! Ianya praktik dan mudah di bawa ke mana-mana. Biasanya pelancong Britain tiba di sini dengan menaiki feri yang berlabuh di Pelabuhan St-Malo ini. Ada juga basikal yang beroda dua tapi berangkai dengan satu unit samada untuk tempat duduk (seperti kabin) di bahagian hadapan atau satu unit seperti kotak untuk diisi barangan (lihat gambar). Selain daripada tu ada juga yang beroda tiga, siap berbumbung lagi ! He…he..yang ni memang kelakar..

Monday, July 26, 2010

Salad nasi

Selalunya kalau ada nasi lebih masakan tengahari, saya akan guna balik nasi tu untuk dibuat nasi goring. Tapi kat sini, nasi lebih akan digunakan untuk buat salad (lihat gambar). Nasi tu bolehla ditambah dengan daun salad, telur rebus, tomato, crab stik, atau apa sahaja ikut tekak masing-masing ! Sediakan sos vinaigrette dan gaul bersama-sama campuran tadi.


Vinaigrette

1.        6 sudu besar minyak zaitun (olive oil)

2.        2 sudu besar cuka balsimique (cuka epal pun boleh)

3.        2 sudu teh mustard

4.        Garam secukup rasa

5.        Rempah kari (ikut suka)

Gaul 1-5 dengan rata.

Selalunya hidangan salad dimakan sebelum hidangan utama. Boleh juga selepas hidangan utama.
Sos vinaigrette ini adalah satu kemestian bagi orang Perancis. Ia umpama sambal belacan la..kalau nak makan ulam!

Saturday, July 24, 2010

Berenang di pantai Tour Solidor (Solidor Tower), St-Malo, Brittany, France

8 Julai 2010
Aha…Hari ini kami berenang di laut di salah satu pantai di St. Malo. Air lautnya terlalu masin dan sejuk macam air dalam peti sejuk ! Lebih sejuk apabila angin sepoi-sepoi bertiup. Tapi bila dah berendam lama di dalam air, kesejukan dah tak jadi masalah. Pantai ini penuh dengan batu-batu kecil dan untuk ke laut lebih bagus kalau dapat pakai kasut sandal plastik. Tak de pokok kelapa seperti di Malaysia. Yang ade hanyalah batu batan dan kapal-kapal kecil. Pantai yang kami pilih untuk berenang ini tak ade orang, kecuali satu dua orang aje. Jadi tak la rasa malu sangat nak berenang (kecuali di bahagian belakang pantai). Setelah berenang, kelihatan sedikit garam melekat di tubuh badan anak-anak.

Bercuti di Saint-Malo, France


Charles de Gaulle Aéroport
Oleh kerana terlalu sibuk, saya tak sempat nak post mengenai percutian saya. Saya sekeluarga sebenarnya sedang bercuti di Saint-Malo, France selama 1 bulan setengah bermula dari 1 Julai lagi. Di bawah adalah catatan saya yang belum sempat dipos!

Tiba di Paris jam 8.00 malam. Kami sekeluarga menziarahi keluarga sebelah suami di Perancis. Perjalanan menaiki kapalterbang bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Doha (Semenanjung Arab)untuk transit dan dari situ, kami berpindah kapalterbang untuk ke Paris. Setiba di Doha, cuacanya amat panas, iaitu 43degree Celcius tetapi berangin. Pendaratan kapalterbang di Paris berjalan lancar walaupun terasa sedikit cemas cara Mr. Pilot melakukan pendaratan (Pernah mengalami pengalaman yang sama ketika kunjungan dulu) Berbeza caranya Mr. Pilot pertama melakukan pendaratan ketika di Doha. Ini mungkin bergantung kapada keluasan/ struktur lapangan terbang masing-masing. Diluar tingkap kelihatan masih siang lagi kerana sekarang ini ialah musim panas.

The World, kapal pelayaran berlabuh di Saint-Malo, France


Kalau dua minggu yang lepas saya dapat melihat Le Skat, kelmarin pula saya dapat melihat kapal yang diberi nama The World. Istimewanya kapal ni ialah mempunyai 165 unit residensi (106 apartment, 19 studio apartment dan 40 studios. Sesiapa sahaja boleh memiliki resedensi ini asalkan ada duit. Setiap unit dibuka untuk jualan. Pastinya, yang membelinya ialah jutawan! Panjang kapal ini pula ialah 196 meter dan mempunyai 250 krew. Kapal ini boleh menampung bilangan penumpang di antara 100-300 orang (residen dan tetamu).

Gambar di atas dirakam dari pantai di Intra-muros, Saint-Malo. Oleh kerana kapal ini terlalu besar, ianya tidak dapat berlabuh di tepi pelabuhan Saint-Malo. Kapal ini berada di perairan ini selama 3 hari sahaja,iaitu dari 21-23 Julai 2010. Dan ini merupakan kali kedua ianya berlabuh di Saint-Malo.

Tuesday, July 20, 2010

Le Skat , salah satu kapal layar terbesar di dunia

9 Julai 2010
Kunjungan saya ke Saint-Malo kali ini, dapat menyaksikan pelabuhan salah sebuah kapal layar terbesar di dunia. Sungguh menakjubkan ! Sekali pandang, malahan beberapa kali pandang pun, saya menyangkakan bahawa ianya adalah sebuah kapal militari. Saya mengetahui maklumat mengenai kunjungan kapal ini ke Saint-Malo setelah membaca akhbar Le Pays Malouin, sebuah akhbar tempatan Saint-Malo. Menurut akhbar ini, panjang kapal layar ini ialah 71 meter. Disebabkan teerlalu panjang, ia tidak dapat memasuki pelabuhan Saint-Malo. Ia hanya dapat berlabuh disekitar kawasan pelabuhan. Kunjungannya mendapat perhatian ramai pengunjung di sini. Dilaporkan nilai kapal ini ialah lebih kurang 80 million dollar. Di dalamnya terdapat lif, platform dengan jakuzi dan lain-lain…

Siapakah pemilik kapal ini?

Pemilik persendirian kapal ini ialah seorang jurutera Microsoft, Charles Simonyi, yang juga merupakan seorang yang rapat dengan Bill Gates.

Saturday, July 17, 2010

Julai 2010: Harga petrol , gula di Malaysia naik

Sekiranya keputusan ini positif atau demi kebaikan untuk rakyat Malaysia, kita kena redha atau terima dengan ikhlas. Kini dah tiba masanya Rakyat Malaysia mengurangkan penggunaan kenderaan untuk ke sesuatu tempat jika kurang penting.

- Untuk ke kedai runcit (dari rumah), umpamanya, adalah lebih sesuai berjalan kaki sahaja ataupun menaiki basikal. Bawa bakul atau caddy sendiri. Jadikan ianya sebagai suatu trend.

- Kerajaan/Majlis Daerah/ NGO/Penduduk setempat mestilah membina infrastruktur yang selesa kepada pejalan kaki atau pembonceng basikal. Cuaca panas dan hujan sepanjang tahun hendaklah diambil kira.

- Jadikan berjalan kaki dan berbasikal sebagai satu gaya hidup masyarakat Malaysia. Jadikan ianya sebagai aktiviti sihat. Faedahnya adalah kepada diri sendiri juga sebab berjalan mahupun berbasikal adalah baik untuk kesihatan. Oksigen dapat mengalir ke seluruh tubuh badan dengan cepat berbanding duduk.

- Setiap rakyat Malaysia mestilah bersatu padu kepada pengurangan penggunaan petrol sebaliknya lebih berjalan kaki atau berbasikal.

- Media massa, khususnya TV, mestilah menyiarkan kempen (yang kreatif) berjalan kaki dan berbasikal ke sesuatu tempat tidak jauh jaraknya adalah lebih baik daripada menaiki kereta.

Wednesday, July 14, 2010

Setelah sekian lamanya

'Setelah sekian lamanya' perkataan yang sering disebut-sebut  jika tidak dilakukan untuk tempoh lamanya.
Mengapa saya berkata demikian ialah kerana saya telah mencuba berkali-kali untuk sign-in blog ini tetapi gagal. Kegagalan teknikal dan masa. Akhirnya berjaya jugak!

Friday, May 7, 2010

Kopi segar

Sewaktu kecil, kopi yang kami minum adalah kopi yang diproses dengan mesin kisar di kedai tersebut. Rasanya memang enak dan segar. Kalau ada tetamu yang datang ke rumah, mereka akan memuji akan keenakan kopi yang dihidangkan. Di bawah adalah kedai yang dimaksudkan. Tuan punya kedai telah bertukar kepada anak mereka.

Tandas bergerak

Apabila tiba musim perayaan, ramai penghuni kota akan pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Jalan raya mahupun lebuhraya akan penuh sesak dengan kenderaan. Jika di lebuhraya, kawasan rehat yang disediakan juga akan penuh sesak dengan manusia yang berhenti berehat. Gambar di bawah adalah merupakan tandas tambahan yang disediakan oleh pihak PLUS (hanya pada musim perayaan sahaja). Gambar ini dirakam ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.


Wednesday, April 14, 2010

Lukisan

Saya tertarik dengan hasil kerja seni Adam baru-baru ini. Di sini saya muat turun hasil kerja seni itu sebagai kenangan.

Angpow

Tahun Baru Cina sudah pun berlalu Februari yang lepas. Kebiasaannya, masyarakat Cina akan memberi atau menghadiah 'Angpow' kepada kanak-kanak. Anak-anak saya juga turut menerima 'Angpow' dari jiran tetangga kami. Sebagai kenangan, saya muat turun salah satu sampul "Angpow" tersebut di blog ini.


Saturday, April 10, 2010

Penjual Ikan

Pagi ni terasa malas lah pulak nak keluar beli ikan. Kan bagus kalau ada penjual ikan yang datang ke kawasan perumahan. Tak payah susah-susah ke kedai. Bukannya dekat pun kalau nak ke kedai....terpaksa naik kereta. Boleh berjalan kaki, tetapi cuaca yang terlalu panas, tidak mungkin dapat ke kedai dengan berjalan kaki.... silap haribulan boleh pengsan. Lagi pun infrastruktur kawasan di sini yang tidak mesra untuk pejalan kaki, menyebabkan orang ramai di sini lebih gemar memandu kereta untuk ke sesuatu tempat walaupun dekat!

Berbalik kepada penjual ikan; saya masih ingat sewaktu kecil dulu, ibu-ibu di kawasan kami tak perlu bimbang jika tiada barangan dapur. Ini kerana di kawasan kami terdapatnya penjual-penjual ikan yang akan datang hampir setiap hari. Mereka dikenali sebagai ‘panjang’, ‘din’ dan seorang lagi ‘Keong’. Teringat lagi kata-kata seperti “ Keong! Ini berapa?”, “Kasi ini satu kati”, “Panjang! Kasi la murah sikit!”, “Din, Tolong tengok ikan ni sekor berapa?”....

Jadi, tak de masalah untuk membeli barangan dapur ketika itu. Satu lagi yang saya perhatikan suasana ketika itu sangat meriah kerana jiran tetangga akan berkumpul untuk membeli ikan sambil berbual mesra, bergurau senda sesama mereka juga dengan penjual ikan. Suasana begini mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga. Terima kasih kepada penjual-penjual ikan ini yang secara tidak langsung dan tidak disedari, juga adalah kumpulan yang berbakti kepada masyarakat.

Tapi, itu semua dulu... tinggal kenangan!

Sunday, April 4, 2010

Skateboard (Papanluncur)

Akhirnya, yang dinanti-nanti , yang diharap-harapkan Adam - dapat akhirnya!
Apa benda? Skateboard la...
Harganya memang mahal untuk sekeping papan!! Kesemuanya..lebih kurang RM 400/-. Seperti yang dijanjikan, separa harga ditaja oleh Mamanye lah..dan separa harga lagi adalah wang Adam sendiri. Adam mengambil upah dengan membantu saya memantau kerja sekolah adik-adiknya dan membasuh kereta saya dan papa.

                              Seronoknya bukan main lagi!

Saturday, April 3, 2010

Stesen Keretapi Tanah Melayu

Baru-baru ni saya menghantar ibu ke stesen keretapi Kuala Lumpur untuk pulang ke Ipoh. Setelah sekian lamanya, mungkin sekitar 20 tahun, saya menjejak kaki semula di Stesen ini. Masa berubah, stesen ini tidak lagi menjadi stesen utama kerana telah ada KL Sentral. Namun stesen ini masih berfungsi. Ibu lebih selesa menaiki keretapi di stesen ini kerana lebih mudah dan selesa berbanding di KL Sentral yang sentiasa sibuk.

Nostalgia lama mengimbas kembali apabila berada di stesen ini. Keretapi adalah pengangkutan utama bagi saya untuk pulang ke Ipoh, sewaktu masih menuntut di Universiti. Kami juga lebih selesa menaiki keretapi jika hendak ke Singapura. Bermula dari Ipoh –KL kemudian KL-Singapura. Memang menyeronokkan!

Masa itu Emas

Ingatkah anda lagi dengan pepatah Melayu; Masa Itu Emas ?

Itulah yang sedang saya praktikkan. Saya percaya anda juga. Disebabkan masa, saya tidak sempat menulis/meng'upload' gambar-gambar untuk tatapan pembaca. Harap Maaf.

Kalau ada kesempatan, saya akan cuba menghantar berita-berita yang terperap di kepala ini dari masa ke semasa.

Selamat Berhari Minggu! Dan jangan lupa, luangkan sedikit masa anda bersama keluarga anda!

Friday, March 26, 2010

Konsert Super Junior (Suju) di Kuala Lumpur

Kumpulan anak muda dari Korea Selatan ini mengadakan Konsert di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini (Sabtu lepas). Tiket paling murah ialah RM138 dan yang paling mahal pula ialah RM 458. Sambutan konsert adalah sangat menggalakkan. Dengar kata, jumlah penonton ada kira-kira 15,000 penonton! Dan paling mengkagumkan, kumpulan penonton adalah terdiri dari pelbagai kaum iaitu, Melayu , Cina, India dll.
Persoalannya;
1. Adakah fenomena konsert M. Nasir atau Siti Nurhaliza mendapat sambutan penonton pelbagai kaum di Malaysia?
2. Konsert Artis Malaysia manakah yang telah mendapat sambutan penonton pelbagai kaum di Malaysia?

3. Adakah siapa peduli? He..he..he..

Saya sendiri tidak pasti kerana tidak ada statistik dan bukti.
Yang saya agak-agak pasti ialah jawapan kepada No.2.

Anda bagaimana?

Monday, February 8, 2010

Putrajaya Challenge Park


Taman Cabaran atau lebih dikenali sebagai Putrajaya Challenge Park ini baru dirasmikan pada 2009. Saya sendiri mengetahui kewujudan taman ini melalui maklumat di internet. Itupun disebabkan minat anak saya terhadap sukan papan luncur baru-baru ini. Putrajaya Challenge Park ini terletak di Presint 5, Putrajaya. Jika dari Kuala Lumpur, anda boleh mengambil Lebuhraya Utara – Selatan dan keluar di susur keluar UPM. Selepas membayar tol, anda perlu membelok ke kiri menghala ke Putrajaya seperti yang dinyatakan pada papan tanda. Lokasinya akan tersorok, tetapi ianya tidak jauh dari PICC dan bersebelahan dengan kolam renang Presint 5. Bagi sesiapa yang berminat dengan sukan lasak yang ada kena mengena dengan roda, di sinilah tempat yang sesuai. Antaranya ialah BMX, papan luncur, mountain bike atau basikal gunung, dirt jump, cross country, freeriding dan sebagainya. Saya diberitahu bahawa pengurus bagi tempat ini ialah Pak Din- pemain papan luncur terbaik Malaysia. Kemudahan di sini dinyatakan sebagai yang terbaik di Asia! Tahniah Putrajaya!

Thursday, February 4, 2010

Gadjet Baru

Selepas waktu sekolah, saya dan anak-anak ke Mid Valley Mall mancari gadjet baru untuk Adam dan PW. Adam kini mempunyai minat yang baru, iaitu sukan papan luncur. PW pula membonceng basikal BMX. Minat ini timbul sebelum kami Taman Cabaran Putrajaya (Putrajaya Challenge Park) lagi. Sebelum ini Adam ada meminta saya belikan papan luncur. Saya tak endahkan kerana sebelum ini pun saya dah belikan dua papan luncur- satu di Giant Hypermarket dan satu lagi Carrefour. Kedua-duanya pun dah rosak. Jadi kenapa nak beli lagi? Asakan…….pujukan…..saya pun bersetuju sebab beliau menunjukkan minat yang mendalam. “ Ok, nanti kita beli di Giant”…. “Oh..NO Mama…yang di Giant tu kualiti tak bagus..” @#%$*$$$$$$$$ (keliru dibuatnya , budak ni!)



Kami pun membuat survey harga satu papan. Whuh!!! 300RM++ untuk sekeping papan macam ni!      RM…Rm…rm…RM…Oh NO ADAM..Too expensive....

Dipendekkan cerita, sebagai permulaan, saya beli dua helmet dan satu set protection pad untuk mereka. Yang lain tu nanti dulu sebab boleh disewa. Saya menasihati Adam supaya dapatkan kemahiran meluncur dahulu baru pertimbangkan papannya. Saya juga bersetuju untuk menghantar mereka ke klinik (kelas) papan luncur dan BMX.

Bukannya tak mahu beli, tapi saya mahu mereka belajar bersabar apabila teringinkan sesuatu barang. Terutama sekali jika mahal harganya. Bukan itu sahaja, saya mengenakan syarat supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh.

Nampaknya saya mengalami fasa baru pembesaran anak-anak. Boleh saya katakan; Saya dan anak-anak sama-sama melangkah ke fasa baru-satu kehidupan!

Monday, February 1, 2010

Hari Wilayah Persekutuan

Hari ini, 1 Februari merupakan Hari Wilayah Persekutuan. Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada semua warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Pada mulanya saya hanya ingin bersantai di rumah sahaja. Lagi pun suami bekerja hari ini kerana beliau kerja di luar kawasan Wilayah. Tetapi apabila difikirkan balik, kenapa tidak ke Putrajaya? Sebab hari ni pun Hari Wilayah. Apa salahnya membawa anak-anak beriadah di Putrajaya? Jadi, saya pun membuat keputusan untuk membawa anak-anak ke kolam renang di Presint 6, Putrajaya. Selepas makan tengahari, kami pun bertolak ke Putrajaya. Apabila tiba di sana, kolam renang pulak tutup! Aduh…hampanya. Rupa-rupanya hari Isnin memang kolam ini ditutup. Ok fine

Saya ternampak pula papan tanda-pantai berpasir di bersebelahan kolam renang. Kami pun menuju ke sana. Memang betul…terdapat sebuah pantai kecil, pasir pantai dan beberapa dahan pokok kelapa. Panorama di depan pulak ialah tasik. Seronok juga…Anak-anak mengambil kesempatan bermain dengan pasir dan saya hanya duduk sambil menikmati pemandangan dan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Malangnya kamera saya rosak. Jadi tak dapat lah nak mengabadikan kenangan di situ bersama anak-anak.

Dah puas bermain pasir, kami mengembara pula ke Presint 5. Tujuan kami adalah hendak mencari tempat untuk bermain papan luncur dan BMX yang baru dirasmikan baru-baru ini. Pusing punya pusing, akhirnya sampai. Mula-mula kami singgah di kompleks untuk aktiviti memanjat. Tutup jugak….Perjalanan diteruskan dan tak jauh dari kompleks memanjat, kami pun sampailah ke tempat untuk bermain papan luncur dan BMX. Nama tempat ini ialah Taman Cabaran Putrajaya. Jadi buat pertama kalinya kami pun menjejak kaki ke tempat ini. Adam berminat untuk bermain papan luncur….yang diidam-idamkan selama ini, manakala PW dan Cami bermain dengan basikal BMX. Seronoknya mereka …tak terkata. Sepuluh minit lagi ke pukul tujuh malam, kami pun beransur pulang…dengan harapan akan kembali ke sini lagi….................
TERIMAKASIH PUTRAJAYA !
dan
SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH!