Tiba-tiba terlintas di fikiran ini, betapa bersemangatnya orang Korea dengan negara mereka. Melalui pengamatan saya ketika berkunjung ke Korea baru-baru ini, mereka ini adalah sangat patriotik. Contohnya, sepanjang penginapan saya di hotel, saya perhatikan 'housekeeper' adalah terdiri daripada orang-orang Korea sendiri. Tidak ada pun pekerja yang diambil dari mana-mana negara miskin. Pada mulanya, saya sangkakan pekerja yang membersihkan bilik itu adalah pekerja asing, tetapi sangkaan saya meleset. Saya berasa janggal ketika itu, kerana telah terbiasa melihat pekerja asing sebagai 'housekeeper' baik di Malaysia mahupun di France. Contoh yang sama juga saya dapati di tandas awam, restoran biasa dan di kedai. Pendek kata, kerja-kerja buruh ini dilakukan oleh orang Korea sendiri. Itu kalau kita lihat dari pandangan tenaga buruh. Kalau dilihat dari segi bahasa pulak, memang mereka menggunakan bahasa dan tulisan Korea sepenuhnya. Mungkin ada la satu dua patah perkataan Inggeris digunakan. Saya sendiri terpaksa menggunakan khidmat pekedai untuk mengetahui kandungan di dalam bungkusan makanan yang ingin saya beli. Saya berpendapat bukan sahaja di Korea, negara-negara seperti Jepun, Taiwan, China juga menggunakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya, termasuklah negara Eropah seperti France. Jadi usaha Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu adalah sewajarnya. Masih belum terlambat, dan sama-samalah kita berusaha demi kejayaan ini.
No comments:
Post a Comment