Thursday, June 11, 2009

CABUT GIGI (EXTRACTION)


Subuh tadi aku mengalami kesakitan gigi yang amat sangat. Berdenyut-denyut... di bahagian rahang atas sebelah kanan (gigi bongsu). Kesakitan yang amat sangat sehingga mengalir air mataku. Azan subuh berkemundang, aku mengambil air sembahyang lalu menunaikan solat Subuh. Setelah itu aku mengejutkan suami ku, mengadu gigi ku sakit. Beliau bangun menenangkan aku dan bergegas ke dapur mandapatkan segelas air dan sebiji panadol. Kesakitan ku reda sedikit. Aku bersiap sedia untuk manghantar anak-anakku ke sekolah dan ke tempat kerja.
Tiba di pejabat, aku menelefon UMSC (sebuah pusat perubatan) untuk mendapatkan rawatan gigi. Rawatan gigi di situ bermula jam 2.00 petang. Aku dinasihatkan oleh seorang jururawat untuk membuat rawatan di Fakulti Perubatan, UM kerana rawatan bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Bersetuju dengan cadangannya, aku pun pergi ke Fakulti tersebut.
Selepas pendaftaran (pertama kali mendapatkan rawatan di Fakulti berkenaan), aku menunggu giliranku sepertimana pesakit-pesakit yang lain. Pada jam 10.40 pagi, giliranku pun tiba. Aku dinasihatkan oleh doktor yang pertama agar gigi ku dicabut. Seorang doktor muda, gadis dan pada fikiranku agak tidak mesra pelanggan (minta maaf ye doktor! Tapi servis mu dikenang). Menurut beliau, gigi bongsu elok dicabut kerana tiada fungsi. Aku juga maklum akan tiada fungsi gigi bongsu dengan rawatan sebelum ini. Cuma aku agak gentar dengan rawatan cabut gigi.Kemudian aku dipindahkan ke ‘bahagian cabut gigi’ yang berhampiran (yang sama paras).
Dibahagian ini aku menerima rawatan dari seorang doktor wanita, muda dan amat ceria sekali. Beliau berasal dari Iraq. Doktor kedua ini memberi aku tiga kali suntikan! Pada perkiraan aku, itu sudah cukup banyak! Sebagai pesakit, kita menerima sahajalah. Kebasnya sudah terasa...dan doktor ini pun memulakan proses mencabut gigi. Kadangkala terasa sakit...aduh sakitnya!!!!! Beliau dan jururawat bertugas cuba menenangkan aku. Aduh....Beliau cuba sedaya upaya tidak terlalu kasar dengan cabutan gigi ini. Walaupun tiga kali suntikan bius, aku masih tidak mampu menahan sakit apabila beliau cuba menarik keluar gigi yang sudah separuh pecah ini (pecah sebelum rawatan gigi lagi). Aku mengalirkan air mata!! Malu memang lah malu!! Tetapi apakan daya kerana tidak tahan sakitnya. Doktor bercadang agar aku berehat seketika. Disamping itu beliau bercadang agar ditambah lagi dos ubat bius. Kali ini tugasan disambung oleh doktor yang pertama. Aku bertemu kembali dengan doktor pertama ini. Tak mengapalah, beliau hanya menjalankan tugas. Doktor yang kedua tadi membuat rawatan dengan pesakit yang lain pula. Keseluruhan suntikan ubat bius yang diambil adalah 5 kali! Aku rasa ini adalah yang maksima. Sewaktu menunggu kebas, aku keseorangan di unitku bersama seorang pembantu bertugas. Ada waktunya jantungku berdegup dengan terlalu laju! Perasaan ku bertambah berdebar. Pelbagai soalan bermain difikiranku pada waktu itu. Adakah aku akan pengsan?? Adakah aku akan mengalami sesak nafas? Memang pada waktu itu, aku terasa seperti sesak nafas. Berdebar-debar, jantung berdegup dengan cepat dan sesak nafas. Aku mulai panik. Tetapi aku menguatkan semangat, ucap selawat nabi dan mohon doa pada Allah agar semuanya berjalan lancar. Tak lama kemudian perasaan ku dan pernafasanku kembali normal. Doktor pertama kembali dan bertanya kepadaku samada sakit atau tidak apabila beliau mengusik gigiku. Tidak sakit nampaknya. Doktor mula mencabut gigiku. Grog..grag..grog ...grag...selesai! Tidak terasa sangat sehingga aku sendiri tidak tahu bahawa proses mencabut gigi telah selesai. Aku bertanya doktor untuk kepastian. Beliau memberitahuku gigi sudah dicabut. Lega rasanya...teramat lega!!! Aku amat bersyukur kerana semuanya telah selesai. Aku meminta izin untuk melihat gigiku. Separa pecah dan separa lagi dipenuhi dengan sisa makanan yang lama. Sambil meneliti gigi, doktor meletakkan kad rawatan di atas pehaku. Aku maklum, aku terpaksa beredar kerana jam menunjukkan hampir 12.30 tengah hari. Sambil berterimakasih, aku pun beredar. Tetapi sebelum itu aku mengucapkan terimakasih kepada doktor yang kedua dan meminta maaf kerana tidak dapat menanggung kesakitan yang amat sangat! Aduhai Gigi Bongsu!

No comments: