Monday, July 27, 2009

BREAKFAST TIME....

One of my favorite picture. It was taken during our breakfast....


Friday, July 24, 2009

Hello! Tuan Rumah Ada?...

Setiap kali saya melakukan kerja rumah di luar seperti menyidai baju, mencuci kereta, mencuci lantai di luar rumah, berkebun mahupun mencuci akuarium, pasti ada penjual yang menyapa dan berkata “Hello! Tuan Rumah Ada? ”. Apa agaknya di fikiran mereka, apabila melihat saya melakukan kerja-kerja berkenaan? Mestilah mereka ingat saya ini pembantu rumah! Hai...pakai cantik-cantik dan kemas begini pun mereka ingat saya ini pembantu rumah! Bukan sekali dua..dah banyak kali dah peristiwa begini berlaku terhadap saya. Memang dasar penduduk bandar di Malaysia pada masa kini, apa-apa sikit...pembantu rumah yang buatkan@kerjakan...dari sekecil-kecil tugas...hinggalah sebesar-besarnya...Sebenarnya kita tidak boleh terlalu bergantung hidup kepada pembantu rumah! Sampai bila? Baik mereka yang bekerja mahupun yang tidak bekerja di pejabat (di luar rumah), duduk rumah besar mahupun rumah kecil, mestilah pandai berdikari, walaupun mempunyai pembantu rumah. Janganlah seratus peratus kerja-kerja rumah diserahkkan kepada pembantu rumah. Pembantu, hanyalah untuk membantu, bukannya buat sepenuhnya! Majikan haruslah faham apa maksud istilah PEMBANTU. Begitu juga dengan istilah TUKANG.. Selaku tuan rumah juga, kita juga tidaklah harus berasa malu untuk melakukan tugasan rumah. Dan kepada penjual, carilah soalan yang sesuai sebagai pembuka kata apabila hendak bertanya...kepada “Tuan Rumah”.
Nota: Mula-mula tu memang rasa kelakar..tapi lama kelamaan menjadi seperti satu budaya baru pulak di Malaysia! Memang patut pun kerajaan Indonesia menghentikan / membekukan serta merta permit masuk pembantu rumah dari negara berkenaan. Memang patut dikaji semula...salah satu cadangan adalah mewajibkan pemakaian pakaian seragam terhadap pembantu rumah!

Tuesday, July 21, 2009

KLCC: Aquaria

Ini adalah gambar-gambar yang diambil sewaktu kunjungan ke akuarium di KLCC:


Ikan piranha. Ikan ini ...makan orang!

RUMAH BURUNG UNTUK HIASAN TAMAN

Rumah burung ini adalah dibuat secara tangan oleh sahabat saya. Ianya boleh diletak di hadapan halaman rumah anda. Jika sesiapa berminat untuk membuat tempahan, boleh lah menghubungi saya di ruangan komen ini. Terimakasih.











Sunday, July 19, 2009

KLCC: SKY BRIDGE

Hampa sekali apabila saya beria benar hendak menaiki “sky bridge” di “Petronas Twin Towers” tidak kesampaian. Untuk menaiki ke tingkat 88 berkenaan, pengunjung boleh mengambil tiket seawal 8.30 pagi. Tiket adalah percuma dan menurut pegawai bertugas, tiket biasanya habis dalam tempoh 2 jam. Bayangkan, tiket untuk sepenuh hari itu telah habis dalam masa 2 jam! Siapa cepat dia dapat. Cuba lagi esok hari! Tetapi bila dilihat secara terperinci, sistem begini adalah tidak sesuai kerana tidak semua pengunjung yang berupaya sampai awal pagi untuk ke atas, terutama sekali pengunjung tempatan. Adalah diharap agar sistem ini dapat diubah kepada sistem yang lebih sesuai.

TEROWONG SMART: The Two Ringgit snake!

Anak-anak saya begitu teruja sekali apabila saya menyatakan hasrat untuk ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur atas urusan peribadi. Mana taknye, mestilah mereka akan ikut dan sambil itu mengajak saya bersiar-siar! Untuk ke sana, saya lebih gemar menggunakan terowong SMART kerana lebih cepat dan selesa. Anak-anak saya menamakan terowong ini sebagai “The two Ringgit snake!”. Ini kerana melalui terowong ini seperti berada di dalam perut ular yang panjang. Ia seperti suatu pengembaraan yang mana akhirnya kami tertanya-tanya bilakah kami akan dapat keluar dari mulut ular ini! Suatu perjalanan yang menyeronokkan...

Thursday, July 16, 2009

Poskad: Saint Malo, France

Poskad lama: Pemandangan di bandar St. Malo, Brittany, Perancis. Tempat ini adalah salah satu pelabuhan terkenal di Wilayah Barat Utara, Perancis.

Kapal Layar : Aktiviti Hobi yang Mahal



Gambar ini dirakam sendiri oleh saya sewaktu berkunjung ke St.Malo, Brittany, France. Penduduk di sana tinggal di tepi pantai. Melayari kapal adalah aktiviti biasa di sana. Sememangnya kos aktiviti ini adalah mahal. Tetapi memberi kepuasan kepada mereka. Bayangkan diri anda melayari di lautan yang tenang dan ditiupi angin yang segar. Cuaca ketika itu, jika tidak silap saya adalah sekitar 10 darjah celcius.

Abby Fanaskova : DJ Radio Sinar Fm di 96.7 fm


Saya suka mendengar radio sinar terutamanya apabila DJ Abby Fana di udara! Beliau adalah seorang yang ceria didalam penyampaiannya dan menghiburkan. Saya sentiasa terhibur apabila beliau ke udara sebagai DJ di saluran berkenaan. Bukan apa, kehidupan seharian ini adalah mencabar dan penuh dengan tekanan kerja, jadi rancangan radio ini kekadang boleh meriangkan suasana. Bukan setakat menghiburkan dengan celoteh beliau, saluran ini juga menghidangkan lagu-lagu segar malar dan turut juga disisipkan dengan ilmu-ilmu yang berguna. Semasa mula-mula mendengar celoteh beliau di udara, beliau selalu menyebut-nyebut nama Abby Fanaskova. Bila terdengar nama Fanaskova..saya tergelak besar!! “Apa? Panaskoba?” Lucu sekali..kedengarannya..


Nota : Gambar diambil dari blog sinar fm.

Monday, July 13, 2009

Kuih Putu Piring


Kuih putu piring ini memang sedap rasanya. Ia adalah kuih tradisional dan jarang dijual. Intinya adalah kelapa dan putu ini mempunyai rasa lemak manis yang enak sekali. Apabila dimakan, rasanya seperti diperbuat daripada tepung beras. Kuih putu ini selalunya kami beli apabila berkunjung ke Kuala Kangsar, iaitu Bandar Diraja Perak. Setakat ini, kuih ini hanya boleh didapati di Kuala Kangsar sahaja. Belum pernah lagi saya menjumpainya di lain-lain tempat selain Kuala Kangsar. Di Kuala Lumpur pun tak ada yang menjualnya. Dulu ada juga dijual di Parit, tetapi tidak lagi sejak jalanraya disitu menjadi sibuk untuk laluan kereta. Kuih ini adalah kesukaan kami sekeluarga dan dimakan pada waktu petang. Tetapi selalunya habis dimakan didalam kereta sahaja sewaktu perjalanan pulang ke Ipoh!

MALAYSIA


Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa. Golongan majoritinya adalah orang Melayu, diikuti orang Cina dan India.
Malaysia adalah sebuah negara yang makmur, aman dan selesa. Negara ini mempunyai pelbagai infrastruktur serta kemudahan-kemudahan yang lain. Walaupun kadang-kadang terdapat sedikit kekurangan, namun rakyatnya harus berbangga kerana suasana negara yang aman serta rakyat bebas bergerak ke mana-mana berbanding dengan negara yang menghadapi peperangan.
Negara ini juga mewah dengan makanan dan dengan harga makanan yang masih lagi berpatutan. Kalau dilihat dari sejarah, Malaysia adalah tempat tumpuan dunia dagangan dan sehingga ke hari ini, kita boleh lihat ramai warga asing yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki.
Syukurlah kita sebagai rakyat Malaysia, dan peliharalah apa yang kita miliki ini dengan sebaik mungkin agar generasi akan datang turut mendapat nikmat sebagai mana kita pada hari ini.

TANDATANGAN (SIGNATURE)

Sepertimana pandangan saya tentang, tulisan tangan, saya juga berpendapat, generasi yang lahir pada pada tahun 40-an, 50-an dan 60-an mempunyai tandatangan yang cantik, ada seni dan nampak ‘kukuh’. Tandatangan golongan ini nampak seperti mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Contoh tandatangan yang saya suka ialah mantan Perdana Menteri Malaysia kita iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ianya nampak eksklusif dan ‘kukuh’. Bukan setakat itu sahaja, tandatangan golongan ini juga mempunyai nilai seni.

TULISAN TANGAN (HAND WRITING)

Zaman sekarang adalah zaman teknologi, yang mana setiap penulisan adalah lebih senang, kemas dan mudah dibaca dengan menggunakan komputer berbanding dengan tulisan tangan.
Walau bagaimanapun, tulisan tangan di dalam sesuatu penulisan itu masih perlu. Contohnya menulis senarai barangan yang hendak dibeli apabila seseorang itu berhasrat untuk membeli-belah di pasar atau sekadar pesanan ringkas dari seseorang kepada seseorang yang lain.
Pada pengamatan saya, rata-rata rakyat Malaysia mempunyai pelbagai gaya tulisan tangan. Yang paling saya kagumi ialah, tulisan tangan bagi mereka yang lahir pada tahun 40-an, 50-an dan 60-an. Golongan ini mempunyai tulisan tangan yang cantik dan ada seni. Semua perkataan ditulis dengan tulisan sambung (cursive) dan setiap hurufnya mempunyai saiz sederhana besar dan boleh dibaca.
Masuk pada generasi yang lahir pada tahun 70-an, gaya tulisan tangan ini berubah dan mengikut gaya yang tersendiri. Ada yang menulis secara tegak, senget ke kanan dan senget ke kiri. Ada juga penulis yang menulis secara biasa, iaitu huruf-huruf diatur tanpa sambungan dan ada juga yang menulis dengan tulisan sambungan. Manakala saiz huruf pula, ada yang besar dan ada yang kecil.
Saya sendiri mempunyai gaya tulisan yang tersendiri. Saya adalah generasi yang lahir pada awal 70-an. Tulisan saya adalah lebih kepada tulisan sambung. Kekemasan tulisan saya adalah bergantung kepada jenis pen yang digunakan. Selalunya, tulisan sambung saya akan menjadi lebih kemas sekiranya pen dakwat (fountain pen) digunakan. Tulisan akan jadi kurang kemas sekiranya pen jenis mata bulat dan kasar yang digunakan.
Kini, daripada pengamatan saya, didapati generasi baru lebih suka menulis setiap huruf dengan saiz yang amat kecil. Kadangkala amat sukar dibaca! Apatah lagi menyakitkan mata kerana saiznya yang terlalu kecil. Bukan setakat itu sahaja, malahan gaya tulisan tangan mereka bolehlah saya ungkapkan seperti ‘cakar ayam’!.

Pernahkah anda melihat tulisan tangan penduduk di Barat? Contohnya di Eropah? Pada pengamatan saya pula, mereka menulis dengan tertib dan ada seni. Setiap tulisan adalah tulisan sambung dan dengan saiz huruf yang betul, yakni bersesuaian dengan mata kita. Yang dimaksudkan dengan tertib pula, mereka ini diajar di sekolah bagaimana untuk menulis setiap huruf dengan betul. Setiap huruf mempunyai bengkokan, pusingan, panjang dan gaya yang tertentu. Walaupun, setiap individu mempunyai gaya tulisan masing-masing tetapi masih lagi berlandaskan peraturan-peraturan tulisan.




Bagaimana pula gaya tulisan tangan penduduk di Jepun dan India? Saya tidak pasti!
Nota: Apa yang ditulis ini adalah dari pengamatan dan pandangan saya sahaja.! Tidak lebih dari itu.


Friday, July 10, 2009

MANGKUK TINGKAT

Ianya sangat praktik, senang dibawa ke mana-mana. Merangkumi 2 tingkat, 3 tingkat mahupun 4 tingkat. Ada pelbagai saiz, kecil atau besar. Kebiasaannya, dahulu kala, masyarakat melayu di Malaysia menggunakan mangkuk tingkat sebagai bekas makanan apabila mereka pergi berkelah, termasuklah keluargaku. Bagus juga saranan pencinta alam agar kita menggunakan mangkuk tingkat sebagai bekas kepada ‘makanan bungkus’. Ianya lebih baik daripada polistiren. Polistiren adalah satu bahan kimia yang agak sama seperti plastik. Ianya tidak mesra alam dan mengambil masa yang lama untuk lupus (atau sebati dengan tanah). Tidak seperti kertas atau contoh paling mudah ialah kulit pisang yang mana jika ianya dibuang, lama-kelamaan kulit pisang itu akan sebati dengan tanah.